Atasi Fitnah Ummah oleh Sheikh Hussain Yee

Categories: Articles


Assalamu’alaykum warah matullahi wabarakatuh.


Saudara Saudari dalam Islam yang dikasihi,


Alhamdulillah, dengan izin Allah kita bakal memasuki tahun Hijrah 1441. Mudah-mudahan tahun baru ini akan membawa suatu kemajuan dan pembaharuan kepada cara kefahaman kita sebagai seorang Islam terhadap agama Islam yang maha suci ini.


Islam adalah agama yang begitu indah dan sangat luas pembahagiannya. Ada urusan aqidah, syariah dan akhlaq (adab), yang mana di bawah syariat saja dibahagikan pembahagian ibadat seperti:


Urusan ibadat solat, kesucian/thoharah, puasa, zakat, umrah dan haji.


Bahagian muamalat: tanggungjawab kita terhadap kemasyarakatan seperti pendidikan, keselamatan, kesihatan, pengangkutan, pertanian, perikanan, perniagaan, perhubungan dalam dan luar negara, keadilan dan hak asasi kemanusian (perhubungan sesama Muslim dan belum Muslim), dll.


Bahagian munakahat: institusi kekeluargaan, perkara yang berkaitan dengan perkahwinan, penceraian, rujuk, tanggungjawab suami/isteri, hak-hak suami/isteri, tanggungajawab terhadap anak-anak dan hak anak-anak, faraidh, dll.


Jinayat: hukum hakam pidana.


Bila dilihat daripada sudut-sudut tersebut, jelas nyata Islam begitu luas pembahasannya dalam membangunkan umat dan negara. Oleh itu, umat Islam sepatutnya bekerjasama untuk menjalankan tugas tersebut untuk memastikan bahagian-bahagian itu dipenuhi oleh ahli-ahli ilmu dalam Islam. Kalau kita dapat fokus dalam bidang-bidang tersebut, saya berkeyakinan kita tidak perlu ada banyak persaingan, dengan itu barulah kita dapat menghayati ayat Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 2: “Adalah kamu selalu bantu-membantu atas kebaikan dan yang membawa kepada ketaqwaan dan janganlah kamu bantu-membantu dalam urusan dosa yang membawa permusuhan atau kebencian.”


Ini kerana tanggungjawab kita adalah luas dan untuk kita memperkenalkan perjuangan Islam adalah untuk kebaikan semua pihak, Muslim dan belum Muslim, barulah kita dapat meyakinkan kepada masyarakat dunia bahawa Islam membawa rahmat, kasih sayang dan prihatin terhadap keamanan, keadilan dan kesejahteraan manusia.


Kita sama-sama rugi, masyarakat yang jahil masih jahil, kerana kita tidak bekerjasama untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan belia yang terdedah kepada bermacam-macam fitnah.


Saya bagi pihak Al-Khaadem sangat mengharapkan supaya kita para pendakwah dan ahli-ahli ilmu dapat mengisi ruangan-ruangan tersebut untuk sama-sama memajukan Islam sebagai suatu agama yang syumul (comprehensive) yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Sebagaimana Rasulullah (pbuh) dan para sahabat telah berjaya membawa keamanan dan kesejahteraan, kebahagian, keadilan dan kebaikan pada manusia dan alam sekitar, sesuai dengan firman Allah bahawa Nabi kita diutuskan untuk membawa rahmat kepada alam semesta (al-Anbiya 21:107).


Sama-samalah kita mencari persamaan yang akan mendatangkan manfaat dan mengguna kebijaksanaan untuk menyelesaikan apa-apa juga perbezaan yang wujud di antara kita.


Kalau kita lihat apa yang sedang berlaku di kalangan kita melalui pengajian-pengajian, pembahasan ilmu di institusi masjid atau surau, dan YouTube atau media sosial, pembahasan ahli-ahli ilmu sebagai pendakwah adalah hanya sekitar hukum hakam sahaja sehingga kita suka hukum menghukum di antara satu sama lain. Akhirnya ini dapat mengelirukan masyarakat khususnya belia dan beliawanis zaman sekarang yang kini semakin jauh dari Islam dan selalu mempunyai pandangan dan pendapat yang negatif terhadap guru-guru agama dan institusi agama. Ini memberi gambaran seakan-akan agama datang untuk menyusahkan orang dan bukan untuk memudahkan.


Oleh yang demikian, kami berkeyakinan kalau kita dapat sambut semangat kerjasama, dengan sama-sama memberi fokus kepada kekuatan yang ada pada diri masing-masing, kita akan berjaya menjalankan tanggungjawab kita sebagai khairul ummah kepada manusia. Contohnya, individu yang arif dalam urusan perniagaan boleh memberi panduan kepada masyarakat dalam urusan perniagaan menurut pandangan Islam; manakala kumpulan yang pakar dalam bidang kesihatan pula dapat memberi panduan kepada masyarakat tentang cara-cara perubatan yang tidak bercanggah dengan agama. Begitu juga dengan para pendakwah – mereka boleh memberi fokus kepada uslub (method) yang terbaik untuk mendekati masyarakat yang berbilang kaum tanpa menimbulkan salah faham dan kebencian dari mana-mana pihak. Orang ahli hukum pula boleh memastikan bahawa hukum Islam itu adalah yang terbaik dan adil untuk menjaga keselamatan dan hak asasi manusia.


Sekiranya kita dapat mengkhusus mengikut kepakaran masing-masing, serta mengisi kesemua pembahagian-pembahagian dalam Islam dengan jayanya, kita yakin dapat menambah baik bidang masing-masing dan menjimat banyak masa, wang ringgit dan tenaga, daripada kita bersaing dengan program yang sama sehingga kita bertindih atau “overlap” dengan program-program yang dilakukan oleh jemaah-jamaah lain. Kini, ramai di antara pendakwah yang merancang konferens, pelayaran, program pelancongan. Kenapa tidak berfikiran jauh dan membuat program yang lebih khusus dan berlainan? Umpamanya program khas ditujukan kepada kaum hawa yang termasuk spa dan kecantikan, atau program mengajar tata tertib kebersihan kepada anak-anak, atau program khas membina iman untuk saudara baru.


Alangkah baiknya jika kita dapat mencadangkan program-program unik yang dapat menarik minat jamaah. Selama ini alhamdulillah, kita telah sedikit sebanyak berjaya untuk mendekati generasi-generasi yang matang – samada Baby Boomers (lahir 1946 – 1964), Generasi X (1961 – 1981) dan milenial atau Generasi Y (1980 – 1994).


InsyaAllah, kita kena mempersiapkan diri kita masing-masing dan anak-anak (tidak kira Gen Y, Z atau Alpha) untuk menghadapi perubahan demi perubahan, kerana Islam agama yang sesuai kepada semua zaman hingga Hari Kiamat.


Semoga Allah menjadikan kita masyarakat yang beriman, yang selalu membawa manfaat kepada orang lain, dan bukan membebankan orang.


Oleh: Sheikh Hussain Yee, Presiden Pertubuhan Al-Khaadem


>Berikan sokongan anda di sini.

Author: Admin

Leave a Reply