Dekatilah Ulama’ oleh Sheikh Hussain Yee

Categories: Articles


Assalamu’alaykum warahmatullahi wabarakatuh,


Jamaah yang dikasihi,


Alhamdulillah hari-hari yang berlalu meninggalkan kita dengan bermacam-macam kenangan. Ada yang baik, buruk, manis, pahit, yang melahirkan anak, yang meninggal dunia, ada juga yang kembali ke jalan Allah dan tidak juga dinafikan ada yang semakin jauh dari Allah. Semoga Allah mengampuni segala dosa, kesilapan dan kelemahan kita semua, dan menerima apa juga amalan baik yang telah kita laksanakan.


Hari yang mendatang semakin mencabar. Khususnya remaja, pemuda pemudi kita dan anak cucu kita yang terlalu mudah terdedah dengan media sosial yang tak terkawal yang umumnya membawa fitnah dan merosakkan pemikiran dan akhlak mereka. Ingatlah: Syaitan bekerja penuh masa, kita umumnya bekerja separa masa. Bagaimana kita dapat mengalahkan syaitan dalam keadaan begini? InsyaAllah kita masih mempunyai kekuatan yang luar biasa. Jika kita dapat gunakan ketiga-tiga kekuatan ini, kita yakin kita dapat mengalahkan segala tipu daya muslihat syaitan dan kuncu-kuncunya.


Jaga keikhlasan hati dalam semua perbuatan dan ucapan kita, sepertimana dalam Surah Sad 38: 82-83.


Selalu hidup berjamaah dan tidak bersendirian, kerana Nabi (saw) telah bersabda, maksudnya: “Jemaah membawa rahmah, pepecahan atau bersendirian akan membawa kehancuran dan azab”.


Mesti ada semangat berbincang, ertinya jangan mengambil keputusan terburu-buru dan “judgemental”.


Dari Ibn Abbas dan Sabith al-Jumahi (ra) mereka berkata bahawa Rasulullah (pbuh) telah bersabda, maksudnya: “Apabila salah seseorang di antara kalian ditimpa musibah (kematian), maka hendaklah ia mengingat musibah yang dialami dengan (wafatnya) diri-ku, kerana sesungguhnya wafat-ku adalah musibah yang paling besar.” – Riwayat ibn Saad, Ad-Darimi dan ibn Majah


Nabi (pbuh) adalah pemimpin umat yang senantiasa membimbing, mendidik, menasihati umatnya dan tidak pernah berputus asa; sentiasa mendoakan kebaikan umatnya. Ingatlah bahawa tidak ada seseorang yang lebih sayang dengan umat ini lebih daripada Nabi Muhammad (pbuh).


Syukurnya kita masih ada para ulama yang berpandukan kepada Qur’an dan Sunnah sebagai pewaris Nabi (pbuh) dan ibu bapa yang sangat mengambil berat tentang hal ehwal seseorang anak. Maka di sini kami menyeru supaya sepanjang tahun ini sehingga tahun-tahun yang akan datang kita dekatilah para ulama yang berpandukan Qur’an dan Sunnah, bukan pendapat dan adat, untuk mendapat bimbingan yang jelas demi kebaikan diri kita sebagai ibu bapa, bagi memastikan kita dapat membantu anak-anak kita menjauhi daripada kesesatan dan kekufuran yang boleh mengakibatkan anak-anak kita murtad.


Wahai kaum ibu bapa yang kami sayangi, anak cucu kita merupai satu amanah. Begitu juga harta benda. Maka selamatkanlah mereka dan diri kita dari azab Allah. Ini adalah tanggung jawab asasi bagi setiap ibu bapa. Dekatilah ulama-ulama yang muktabar, yang mengajar mengikut Qur’an dan Sunnah, bukan nafsu dan pendapat, supaya kita mendapat hikmah untuk berbincang dengan anak cucu kita menggunakan pendekatan yang lojik, praktik dan rasional. Ingatlah bahawa adat tidak dapat menyelamatkan anak cucu, hanya dengan agama yang mengikut Qur’an dan Sunnnah mampu menghadapi segala perolahan hidup.


Kami doakan supaya Allah memberi kekuatan, kebijaksanaan, kesihatan dan kejayaan bagi kita semua untuk meneruskan perjuangan kita demi meninggikan kalimat Allah dan mempertahankan syiar Islam di mana saja kita berada. Ingatlah tidak ada satu amalan yang lebih disukai oleh Allah daripada memuliakan dan mempertahankan segala hukum-hakam yang Allah telah tentukan. Kami yakin insyaAllah dengan komitmen yang tulus ikhlas lillahi ta’ala, umat ini akan kembali menjadi khayr ummah.


Untuk mengakhiri lembaran ini, kami pihak Al-Khaadem mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan aktiviti Al-Khaadem agar mengembalikan umat kepada Islam yang berasaskan Qur’an dan Sunnah. InsyaAllah, aktiviti di Al-Khaadem akan dimantapkan lagi dan kami ucapkan syabas kepada semua yang telah memberi bantuan kepada kami, hanya Allah sahaja dapat membalas segala kebaikan.


Oleh: Sheikh Hussain Yee, President of Pertubuhan Al-Khaadem


>Support our work here.

Author: Admin

Leave a Reply