Saudara Saudari yang budiman,


Melihat kepada hakikat kehidupan ini tahun demi tahun ujian perjuangan kita bukan berkurangan bahkan semakin bertambah. Kita sedar bahawa fitnah-memfitnah antara ummah ini semakin banyak dan canggih kerana teknologi media sosial yang negatif dan tidak adanya tabayyun. Kita sedar bahawa orang Islam telah diberi panduan oleh Allah. Apabila kita menerima apa-apa berita daripada mana-mana pihak, sebelum kita “share” berita tersebut, kita mesti pastikan berita dan mesej itu benar melalui proses tabayyun.


Ini telah diingatkan oleh Allah kepada kita 1,400 tahun dahulu di dalam surah Al-Hujurat 49 ayat 6, yang bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila sesuatu berita sampai kepada kamu dari orang-orang yang fasik (atau sesiapa sahaja yang suka membawa berita/cerita) hendaklah kamu pastikan bahawa berita tersebut adalah benar sebelum fitnah menimpa satu-satu kaum atau seseorang dan akhirnya kamu akan menyesal terhadap perbuatan kamu.”


Agama Islam yang begitu positif dan jelas memerintahkan kita supaya selalu bersatu dengan berpegang kepada Qur’an, wahyu dan Sunnah Nabi (saw), bukan pendapat majoriti atau kebiasaan. InsyaAllah kita dapat kurangkan salah faham, kekeliruan di antara kita dan akhirnya hilanglah kebencian, permusuhan, syak wasangka buruk sesama kita. Mudah-mudahan dengan itu bertambahlah kasih sayang di antara umat ini yang akan membawa suatu tenaga positif kepada generasi muda-mudi yang sedang keliru dan mencari-cari contoh dan teladan positif. Kalau kita gagal membawa contoh yang baik kepada mereka, ini boleh membawa fitnah yang lebih besar kepada generasi akan datang.


Di sini saya ingin menggalakkan dan menyeru supaya kita sebagai umat yang beragama dan berilmu hendaklah selalu menyelesaikan segala isu-isu yang kita hadapi dengan semangat ukhuwah Islamiah untuk saling bantu membantu dan memperbaiki segala salah faham yang wujud dengan mengadakan perjumpaan/pertemuan dan perbincangan secara bersemuka dengan ikhlas. Jangan sesekali menggunakan media sosial sebagai tempat perbincangan kerana fitnah melalui media massa tidak dapat dikawal. Bukankah agama Islam itu indah. Sunnah Nabi (saw) itu indah. Sahabat-sahabat dan Imam-imam telah meninggalkan contoh-contoh yang indah untuk umat menyelesaikan masalah dengan indah. Supaya keindahan Islam dapat dilihat oleh generasi muda dan juga orang yang belum Muslim.


Kita ada ramai cerdik pandai, yang professional, yang kaya, yang berkuasa dan sebagainya tetapi apa yang kurang antara kita sebenarnya ialah kita tidak mempunyai hikmah (wisdom). Hikmah selalu datang melalui pengalaman, kesabaran dan tawakkal. Di dalam Qur’an Allah sering mengingatkan kita dan mengguna kalimah “al kitab wal hikmah”. Hikmah yang dimaksudkan adalah contoh dari Nabi Muhammad (saw). Lihat bagaimana dalam masa 23 tahun sahaja, Nabi (saw) dapat menyatukan pelbagai kaum – yang musuh menjadi saudara – sehingga mereka menjadi satu ummah yang berkasih sayang. Mana lagi terdapat contoh di mana seorang individu dapat menyatu padukan semua bangsa dan menghapuskan syirik dalam masa yang singkat. Kami berharap agar setiap antara kita dapat mencari semula “lost treasure” ini yang dikenali sebagai “hikmah”.


Semoga Allah memudahkan dan mengkayakan kita dengan nilai-nilai yang murni, positif dan membina supaya kita kembali menjadi Khairun Ummah.


Oleh: Sheikh Hussain Yee, President of Pertubuhan Al-Khaadem


>Support our work here.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *